Phankz – Perasmian Yayasan Pahang telah disempurnakan pada 29 September 1983 oleh KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah, yang DiPertuan Agong pada ketika itu. Operasi pentadbirannya pula bermula pada tahun 1983 di Tingkat 19, Kompleks Teruntum, Kuantan. Misi utama penubuhan Yayasan Pahang adalah untuk meningkatkan kemajuan pendidikan, sukan, kebudayaan dan memperluaskan peluang-peluang mendapat pendidikan di kalangan anak negeri dan warganegara Malaysia yang biasa menetap di negeri ini.
 

Yayasan Pahang yang dinaungi oleh YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah kini semakin mantap dengan penubuhan anak-anak syarikat YP Plantations Sdn. Bhd, Kolej Yayasan Pahang dan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang yang mempunyai misi dan visinya tersendiri bagi mengukuhkan lagi kedudukan Yayasan Pahang dalam bidang pendidikan. Sebagai organisasi yang menjadi pemangkin kepada penjanaan modal insan bertaraf dunia, Yayasan Pahang kini memberi fokus kepada kuantiti selaras dengan kualiti pelajar yang menerima bantuan. Selaku organisasi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan anak-anak Pahang, Yayasan Pahang menyediakan pakej pendidikan lengkap kepada anak-anak negerinya meliputi pelajar sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi, masyarakat bekerja dan masyarakat minoriti Orang Asli.