YANG BERBAHAGIA PUAN AINUL HAYATI BINTI YUNUS
KETUA EKSEKUTIF
KOLEJ YAYASAN PAHANG

Ketua Eksekutif Ainul Hayati

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah SWT yang memanjangkan usia, mengurniakan kesempurnaan akal, menganugerahkan kesihatan dan memberikan keupayaan bagi menempuhi kehidupan di dunia ini.

Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd. serta seluruh kakitangan atas kepercayaan yang diberi kepada saya untuk membantu meneraju Kolej Yayasan Pahang. Satu tanggungjawab yang besar dan amanah yang berat untuk dilaksanakan, namun diambil sebagai cabaran untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan komitmen dalam mengemudi pasukan kolej.

Dengan hala tuju yang kompetitif, kerjasama berpasukan yang mantap, tunggak pemikir yang hebat, sokongan dan komitmen pemegang taruh tanpa batasan, saya mengharapkan Kolej Yayasan Pahang akan terus mengorak langkah mengejar impian dan mengharungi badai demi menggenggam realiti yang diharapkan.

Kejayaan adalah sebuah perjalanan yang panjang. Pasti akan menempuhi kegagalan, kekecewaan dan kesedihan sebelum menggapai kemenangan. Namun itu adalah rencah kehidupan yang boleh diibaratkan seperti secangkir kopi. Hirupannya adalah untuk merasai kepanasan, kepahitan dan kemanisan. Namun, nikmatnya adalah kepuasan yang mendamaikan. 

Semoga apa yang disasarkan oleh Kolej Yayasan Pahang akan memberikan pulangan yang memberi manfaat kepada kakitangan, pelajar, komuniti, industri dan negara.

Sekian, terima kasih.