Konsep Kolej Dalam Taman yang diadunkan oleh KYP ini menunjukkan hubungan akrab diantara peranan dan fungsinya sebagai institusi pengajian tinggi dalam persekitaran taman yang segar. Unsur flora, fauna, air dan ciptaan-ciptaan lain merupakan hubungan yang dinamik dalam penerokaan kehidupan selanjutnya. Konsep ini mengajak kita untuk mengekalkan kehijauan kampus sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan dunia intelek. Kita perlu semarakkan semangat dan amalan dalam menjaga persekitaran kampus, malah terus menyayangi dan menghargai alam semula jadi dan ekologi yang dianugerahkan Tuhan di hati dan pemikiran pada setiap warga kampus.

Untuk menyedarkan semua pihak terhadap usaha ini, pelbagai unsur perlu diberikan perhatian. Unsur-unsur ini adalah nisbah di dalam pemajuan tanah yang ada, keindahan flora dan fauna, tasik dan keindahan yang berkaitan, reka bentuk dan senibina serta amalan seluruh warga kampus. Usaha      murni ini memberikan  keindahan yang tiada taranya, menggambarkan kampus yang sungguh menarik, nyaman dan kaya dengan semangat kemanusiaannya. KYP menjadi model kehidupan Kolej dalam taman yang patut dicontohi dan dicemburui.

Ia merupakan gabungan harmoni persekitaran kampus dalam taman yang menyediakan medan wacana intelek dalam menerokai akal budi – siapa kita, bagaimana kita mengetahui dan bagaimana kita patut meneruskan kehidupan selanjutnya.