POLISI SISTEM PENGURUSAN ANTI BRIBERI KUMPULAN KYP EDUCATION SDN BHD
[UNIVERSITY COLLEGE OF YAYASAN PAHANG & KOLEJ YAYASAN PAHANG] ISO37001:2016

KUMPULAN KYP EDUCATION SDN BHD [UNIVERSITY COLLEGE OF YAYASAN PAHANG (UCYP) dan KOLEJ YAYASAN PAHANG (KYP)] komited untuk melaksanakan kod etika mengenai larangan briberi kepada semua warga kerja dan aktiviti organisasi dan perhubungannya dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan segala ruang dan peluang briberi, rasuah, penyelewangan dan salahguna kuasa dapat ditangani dengan cekap dan berkesan. 

KKESB mensasarkan toleransi sifar terhadap briberi di dalam menyediakan perkhidmatan. Bagi merealisasikan sasaran tersebut, KKESB memberikan penekanan kepada empat (4) terma rujukan berikut: 

A. Dasar, Perundangan dan Peraturan

     i. Memahami dan mematuhi undang-undang, peraturan dan lain-lain arahan berkaitan anti briberi yang berkuatkuasa.

    ii. Menerapkan elemen anti briberi dalam penggubalan dasar bagi meningkatkan kawalan dalaman terhadap kelemahan governans dan pelanggaran integriti.

 B. Sistem dan Prosedur Kerja

Mengenal pasti, mengkaji kelemahan dan menambahbaik sistem dan prosedur kerja dari semasa ke semasa yang boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan briberi, penyalahgunaan  kuasa dan penyelewengan. 

C. Pengukuhan Governans, Integriti dan Akauntabiliti

Menyemai, mendidik dan membudayakan integriti dan akauntabiliti serta memperkukuhkan governans dalam penyampaian perkhidmatan. Budaya kerja yang sihat ini membolehkan semua pihak berakauntabiliti bukan hanya di dalam skop jabatan masing-masing, tetapi juga bersifat cross sectional.

D. Pengesanan, Pematuhan, Punitif dan Pemulihan

    i. Memperkasa dan menyebarluaskan mekanisme pelaporan perlakuan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

   ii. Memastikan pematuhan kepada peraturan, mengambil tindakan punitif terhadap pelanggaran tatakelakuan dan melaksanakan usaha pemulihan. 

Polisi ini terpakai kepada semua warga KKESB. Polisi ini juga hendaklah dijadikan panduan oleh pemegang taruh, rakan niaga atau mana-mana individu / organisasi yang berurusan dengan warga / fasiliti KKESB dan perlu dipatuhi. Perlanggaran kepada polisi ini membolehkan tindakan undang-undang dan / atau tatatertib dikenakan kepada mereka yang terlibat.