Sesi kunjung hormat telah diadakan oleh Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Pahang, Puan Ainul Hayati Yunus bersama Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof. Madya Dr. Radzuwan Abdul Rashid bagi membincangkan isu berkaitan pelajar Malaysia di Jordan, khususnya pelajar KYP-YUK. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan yuran dan kos pengajian di Jordan; isu pendaftaran pelajar melalui aplikasi e-Timur Tengah; keperluan pengambilan kursus bahasa Arab di Jordan; serta peluang penghantaran pelajar ke universiti lain di Jordan.
– Usai lawatan ke EMJ, lawatan kunjung hormat diteruskan ke Zarqa University dan sesi pertemuan diadakan bersama Naib Presiden iaitu Prof Nidal Aisha, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti. Antara objektif kunjung hormat adalah bagi mendapatkan maklumat dan meninjau peluang kerjasama bagi penghantaran pelajar dalam pelbagai bidang yang dicadangkan oleh universiti seperti Perbankan Islam, Farmasi, Syariah, Kejuruteraan Mekanikal dan Pergigian. Antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkaitan yuran pengajian, keperluan mendapatkan penajaan pengajian serta keperluan yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Semoga hasil kunjungan mampu meningkatkan penerokaan pelbagai bidang kerjasama dengan pelbagai institusi yang berupaya menghasilkan inisiatif-inisiatif bernilai tambah tinggi kepada Kolej Yayasan Pahang dan masyarakat khususnya.